top of page
Home: Blog2
Search
  • Writer's pictureIRed Project

Pembunuhan Jeneral Qassem Soleimani: Haruskah Naratif Sunni-Syiah Terus Dimainkan?

🖋🌏 Artikel IRed 1 🌏🖋


1. Baru-baru ini berita antarabangsa dikejutkan dengan pembunuhan pemimpin kanan tentera Al-Quds Iran, Komander Qassem Soleimani yang terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) di Baghdad. Kebimbingan mengenai tercetus perang dunia ke-3 menjadi bualan utama di media sosial. Tetapi rata-rata netizen di Malaysia memberikan pelbagai reaksi berbeza terhadap pembunuhan Jeneral Qassem Soleimani terutama mengenai naratif Iran sebagai Negara Syiah dan menyambut baik pembunuhan Qassem Soleimani oleh serangan udara Amerika Syarikat.


2. Antara komen netizen di media sosial “Syukur alhamdulillah kerana umat islam negara ini sedar yang shiah atau idealogi rakyat iran adalah musuh islam” , “Baguslah jeneral mutaah Iran tu mati dialah arkitek porak peranda dunia muslim timur tengah”.


3. Benarkah konflik di Timur Tengah sekarang sepenuhnya hanya bersandarkan perseturuan Sunni dan Syiah semata-semata terutama pasca kejadian Arab Spring? Berdasarkan pandangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Naib Ketua Kesatuan Ulama Muslimin dunia di dalam Facebook Rasmi beliau mengutuk sekerasnya tindakan Amerika Syarikat di atas pembunuhan Jeneral Qassem Soleimani tanpa mengira latar belakang beliau sebagai syiah. Beliau menyatakan pandangan dalam tulisan yang bertajuk ‘ADA YANG BERGEMBIRA BERSAMA ZIONIS’ .


4. Beliau menulis “Peristiwa pembunuhan Jeneral Qasim Sulaimani dan rakan-rakannya disambut gembira oleh Zionis Israel dan sekutunya di seluruh dunia, kerana dikatakan pengganas paling dikehendaki oleh mereka tanpa mengira Sunni atau Syiah. Bagi mereka tiada perbezaan dengan kejayaan membunuh Syeikh Ahmad Yasin daripada Sunni dan Qasim Sulaimani daripada Syiah, termasuk pembunuhan Jamal Khashoggi yang dileburkan jasadnya akibat membuat kenyataan anti Zionis, walaupun dia hanya seorang wartawan Sunni berasal dari Madinah, Arab Saudi.


5. Tambah beliau lagi “Namun, ada pula kumpulan yang menamakan diri mereka pejuang Ahli Sunnah sangat bergembira bersama-sama kumpulan Zionis kerana kejayaan operasi membunuh Jeneral Qasim Sulaimani. Sebabnya beliau ialah penganut Syiah dan berjaya mematahkan kumpulan Daesh dan rangkaiannya yang dikatakan berjihad di Iraq, Syria, Yaman dan lain-lain”. Sedangkan semua kumpulan Palestin yang 100% Sunni terutama HAMAS bersedih, sehingga para pemimpin mereka menghantar rombongan mengiringi jenazah dan membuat kenyataan terbuka bahawa Jeneral Qasim dan rakan-rakannya adalah para syuhada’ Al-Quds (Bait Al-Maqdis), kerana peranan utamanya menjadi pemimpin pasukan yang ditubuhkan khusus bagi pembebasan Bait Al-Maqdis”.


6. Penulisan Tuan Guru Haji Hadi mengenai pembunuhan Qassem Soleimani mendapat pelbagai kecaman dari netizen terutama yang masih berpegang teguh dengan naratif Sunni-Syiah di dalam semua isu yang tercetus di Timur Tengah. Sedangkan padangan beliau hanya ingin membetulkan sikap politik umat islam pada masa kini. Bahkan, berdasarkan OIC Amman Declaration 2004, syiah imamiah merupakan salah satu lapan 8 mazhab utama ahli qiblah ( 8 mazhab tersebut 5 dari sunni, 2 dari syiah iatu syiah imamiah dan zaidiah & 1 dari Khawarij). Namun, tidak dinafikan ada juga beberapa mazhab syiah yang sesat dari ajaran islam.


7. Pada 18 – 21 Disember 2019, kerajaan Malaysia telah menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur atau KL Summit 2019 bertempat di Kuala Lumpur atas usaha Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr.Mahathir Bin Mohamad sendiri untuk mengumpulkan pemimpin islam yang hebat bagi membincangakan kerjasama antara Negara-Negara Islam dan membincangkan isu-isu umat islam. Antara pemimpin islam yang hadir ialah Presiden Turki, iatu Reccep Tayyip Endorgan, Emir Qatar iatu Tamim Hamad al Thani, Ali A.Abdulahman iatu Pemimpin Kanan Hamas.


8. Malah Presiden Iran iatu Hassan Rouhani turut diundang bersama menteri Iran yang lain ( Javad Zarif, Menteri Luar Iran ), (Mohammad Javad Azahari Jahromi, Menteri Informasi dan Teknologi Maklumat Iran). Ini menunjukkan isyarat yang jelas bahawa Tun Dr.Mahathir juga melihat kekuatan umat islam sebenarnya melebihi agenda Sunni dan Syiah. Tun Dr. Mahathir berpendapat zaman kegemilangan islam musnah disebabkan perpecahan dan kelemahan umat islam pada masa kini. Malah pejuang islam Salahudin Al ayubi juga berjaya membebaskan Baitul Maqdis buat kali kedua dengan terlebih dahulu menyatukan umat islam sejagat iatu menyatukan antara Sunni dan Syiah di Mesir.


9. Permasalahan di Timur Tengah bukan sepenuhnya adalah disebabkan Sunni dan Syiah. Sebaliknya Arab Spring lebih ke arah proses demokrasi di Timur Tengah dari pimpinan kuku besi seperti Housni Mubarak di Mesir dan Zine El Abidine Ben Ali di Tunisia. Malah sebelum terjadinya Arab Spring, Negara yang majoriti bermazhab Syiah dapat menerima pemimpin dari Sunni seperti di Bahrain. Di Yaman, kerajaan Presiden Ali Abdullah Salleh yang berkuasa sejak 1990 merupakan penganut Syiah Zaidiyyah telah digulingkan oleh pemberontak Houthi yang merupakan penganut Syiah Zaidiyyah sendiri.


10. Jadi dari awal krisis Yaman ini bukanlah perang sektarian Sunni-Syiah. Krisis di Yaman hanya dilihat sebagai perang Sunni-Syiah setelah Houthi berpaling tadah apabila bekerjasama dengan Presiden Ali Abdullah Salleh yang telah digulingkan untuk menentang Presiden Mansur Al-Hadi. Penglibatan Saudi dengan memberi sokongan kepada Mansur Al Hadi untuk menentang Houthi yang disokong Iran telah menjadikan Yaman sebagai medan pertempuran antara Iran dan Saudi, justeru menguatkan lagi isu kononnya konflik di Yaman merupakan perang Sunni dan Syiah.


11. Malahan masih ramai yang menggunakan hujah perang antara Amerika dan Iran hanyalah lakonan dan wayang puak Syiah. Persepsi yang kurang celik poltik dan sejarah perlu dibetulkan di kalangan rakyat Malaysia terutamanya. Sedangkan perseturuan antara Iran dan Amerika Syarikat terus berlarutan sehingga hari ini sejak tercetusnya Revolusi Iran 1979. Sebelum tumbangnya Rejim Shah Rezal Pahlavi di Iran akibat Revolusi Iran, Amerika mengangap Iran sebagai salah satu “Twin Pillar” bersama-sama Arab Saudi menandakan kearaban negara tersebut dengan Amerika. Dari krisis tembusan diplomat Amerika Syarikat di Kedutaan Rasmi Amerika Syarikat di Tehran tahun 1979 sehinggalah tekanan oleh Barat dan Amerika terhadap pembangunan nuklear oleh Iran pada masa kini.


12. Perlawanan geopolitik antara Iran dan Amerika Syarikat di Timur Tengah begitu ketara terutama di Syria, Iraq dan Yaman. Iran berkongsi blok dengan Russia,China dan Qatar manakala Amerika jelas disokong oleh Saudi, UAE dan Israel. Malah, antara fakta yang menarik ialah banyak syarikat Multinasional yang berpengkalan di Amerika seperti KFC dan Mc Donald juga tidak dibenarkan beroperasi di Iran sama sekali sejak revolusi Iran 1979. KFC yang dibuka pada tahun 2015 di Barat Tehran diarahkan tutup setelah beroperasi hanya sehari. Alasan yang diberikan ialah pembukaan KFC tersebut menyebarkan pengaruh nilai-nilai Amerika dan Barat di Iran.


13.

Amerika dan Iran juga kini berebut untuk menguasai Selat Hormuz. Tambahan pula, pembunuhan Qassem Soleimani oleh Amerika yang merupakan figura yang sangat penting oleh rakyat Iran menyemarakkan lagi permusuhan Amerika dan Iran. Ribuan penduduk Iran berkumpul dan mengusung keranda pemimpin kanan tentera, Komander Qassem Soleimani yang terbunuh di Tehran. Adakah ini masih dikira sandiwara Iran-Amerika di mata umat islam ?


Asyraf Hadi Mahasiswa Hubungan Antarabangsa, UniSZA

*penulis merupakan mahasiswa Hubungan Antarabangsa tahun 3 UniSZA

*Penulisan ini tidak membawa pandangan rasmi IRiSS UniSZA



0 comments

Comentários


Home: Subscribe
bottom of page