oleh: Christian Chau Lasa
Konfrontasi Indonesia-Malaysia merupakan suatu peristiwa sejarah yang sentiasa diingati oleh seluruh rakyat Malaysia sehingga kini. Ketika itu, idea penubuhan Malaysia yang merangkumi Tanah Melayu, Brunei, Sabah, Sarawak dan Singapura yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman dan proses pembentukannya masih berjalan sebelum pembentukannya diisytiharkan pada 16 September 1963. Idea penubuhan Malaysia ini mendapat tentangan kuat dari presiden pertama Indonesia, Sukarno kerana beranggapan bahawa penubuhan Malaysia ini merupakan satu bentuk penjajahan baru oleh United Kingdom untuk mengukuhkan kuasanya di Asia Tenggara. Akibatnya, pada 20 Januari 1963, Subandrio, Menteri Luar Indonesia pada ketika itu mengumumkan polisi Konfrontasi terhadap Malaysia dan tentera Indonesia mula dikerah untuk menceroboh dan menyerang Malaysia. Malaysia yang melihat tindakan ini sebagai mengguggat kedaulatannya kemudiannya bertindak balas dengan mempersiapkan tenteranya dengan bantuan United Kingdom untuk menentang tentera Indonesia. Pun begitu, konflik ini sebenarnya bukanlah berkisarkan tentang kedaulatan negara semata-mata malah jika diperhatikan melalui kaca mata politik antarabangsa, konflik antara kedua-dua negara ini merupakan suatu perang proksi melibatkan dua negara kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet.
Ketika konfrontasi ini berlaku, dunia sedang berhadapan dengan suatu perang ideologi yang dikenali sebagai Perang Dingin sejurus selepas Perang Dunia Kedua berakhir. Perang Dingin melibatkan dua buah blok iaitu Blok Barat yang diketuai gabungan Amerika Syarikat dan United Kingdom yang merangkumi negara-negara kapitalis dan Blok Timur yang diketuai Kesatuan Soviet yang merangkumi negara-negara komunis. Istilah ‘Perang Dingin’ digunakan untuk menerangkan konflik antara kedua-dua blok ini kerana tiada peperangan bersenjata secara langsung antara kedua-duanya dan hanya melibatkan pengintipan antara satu sama lain dan perang proksi di negara-negara Dunia Ketiga sebagai medan untuk menunjukkan kekuatan masing-masing. Ini menyebabkan pengaruh Perang Dingin mula meresap ke dalam konfrontasi ini apabila Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet menyokong salah satu pihak yang terlibat. Konfrontasi ini juga menjadi semakin ketara melalui jurang perbezaan ideologi yang besar antara Malaysia dan Indonesia. Malaysia di bawah pemerintahan Tunku Abdul Rahman mengamalkan dasar luar yang pro-Barat dengan menjalin hubungan erat dengan United Kingdom dan negara-negara anggota Komanwel lain termasuklah Amerika Syarikat. Melalui hubungan erat ini, Malaysia telah menandatangani Perjanjian Pertahanan British-Malaysia pada 1957 dan mendapat bantuan ketenteraan dari Amerika Syarikat hasil lawatan Tunku ke Amerika Syarikat pada 1964. Indonesia pula mengamalkan pendekatan pro-komunis dalam dasar luarnya meskipun Indonesia bukanlah sebuah negara komunis ketika pemerintahan Sukarno. Dasar ini diwujudkan melalui fahaman Sukarno yang anti-imperialis terhadap negara-negara Barat yang dilihatnya sebagai penjajah. Oleh itu, beliau telah mengadakan lawatan ke negara-negara komunis seperti Kesatuan Soviet, China, Cuba dan negara-negara komunis Eropah Timur. Sukarno juga turut menjalinkan ‘persahabatan yang erat’ dengan Parti Komunis Indonesia (PKI) untuk memperkukuh kedudukannya dalam politik Indonesia. Perbezaan ideologi inilah yang membawa kepada Konfrontasi Indonesia-Malaysia di mana Malaysia dibantu oleh United Kingdom dan disokong oleh Amerika Syarikat manakala Indonesia disokong oleh Kesatuan Soviet dan China, menjadikan konfrontasi ini dilihat sebagai pertembungan antara kapitalis dan komunis.
Konfrontasi ini mula menampakkan pengurangan setelah tragedi 30 September (G30S/PKI) disusuli dengan pelantikan Suharto sebagai Presiden Indonesia menggantikan Sukarno. Beberapa siri perjanjian damai telah dimeterai oleh kedua-dua negara sebelum konfrontasi tersebut diisytiharkan tamat pada 11 Ogos 1966.
Sebagai kesimpulan, Konfrontasi Indonesia-Malaysia merupakan antara kesan persaingan ideologi kapitalis dan komunis di peringkat global dan bukanlah isu kedaulatan semata-mata yang dipacu melalui dasar luar yang dilaksanakan oleh pemimpin ketika itu iaitu Sukarno dan Tunku Abdul Rahman. Perbezaan ideologi antara dua negara akan menimbulkan krisis diplomatik dan boleh membawa kepada peperangan jika tidak dikawal dengan sebaik mungkin. Oleh itu, diharapkan agar pemimpin negara perlu sentiasa bijak dan berwaspada dalam mewujudkan dasar luar agar kedaulatan negara terpelihara dan pada masa yang sama sebarang konflik bersenjata dapat dielakkan agar tiada nyawa yang terkorban.
Rujukan:
Ali Maksum & Reevany Bustami. (2014). The 1965 coup and reformasi 1998: two critical moments in Indonesia-Malaysia relations during and after the Cold War. SpringerPlus, 3(1), 1-9.
Azlizan Mat Enh, Zubaidah VP Hamzah, Mohd. Samsudin, Rupawan Ahmad, Farah Afizah Yacob & Nadiah Yunos. (2010). Kajian Perbandingan Dasar Luar Malaysia dengan Yugoslavia Era Perang Dingin (pp. 159-172). Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia
Mohd Noor Mat Yazid. (2013). Malaysia-Indonesia Relations Before and After 1965: Impact on Bilateral and Regional Stability. In Symposium on Cultural Diplomacy in the Asia Pacific, Berlin (pp. 7-9)
Mohd Noor Mat Yazid. (2016). Indonesian Relations with the Eastern Europe, Soviet Union and China before 1965: Systemic and Domestic Factors. Review of European Studies, 8, 253.
Pamela Sodhy. (1988). Malaysian-American Relations During Indonesia's Confrontation against Malaysia, 1963-66. Journal of Southeast Asian Studies, 111-136.
Namri Sidek. (2018, 16 Ogos). Sejarah ‘Zaman Konfrontasi’ Malaysia -Indonesia. Iluminasi, Diambil dari https://iluminasi.com/bm/sejarah-zaman-konfrontasi-malaysiaindonesia.html
Comentarios