top of page
Home: Blog2
Search
  • Writer's pictureIRed Project

ISU LAMBAKAN PATI DI MALAYSIA : POLISI MALAYSIA

By: Iskandar Zailani



Pengenalan Isu



Pada 26 Mei 2020 ,pengumuman Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia ,Datuk Dr Noor Hisham bin Abdullah nyata menggemparkan rakyat Malaysia . Kes positif baharu yang dicatatkan telah meningkat secara mendadak kepada 187 kes baharu berbanding hanya 60 kes baharu dicatatkan pada 24 Mei 2020 . Namun ,kegusaran rakyat Malaysia berkenaan pengumuman kes baharu ini diredakan sebaiknya oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia . Menurut kenyataan Dr Noor Hisham ,173 kes positif baharu yang dicatatkan adalah daripada golongan bukan warganegara ,dengan 160 kes tersebut terdiri daripada kluster Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil . Penerangan ini jelas melegakan kerisauan rakyat Malaysia ,namun ianya menimbulkan satu lagi persoalan dan kegusaran . Jadi ,dengan wujudnya kluster baharu ini ,lambakan PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin) di Malaysia jelas dilihat semakin melarat .



Laporan Astro Awani pada 7 April yang lalu turut dilihat membenarkan kegusaran rakyat Malaysia berkenaan isu lambakan PATI ini . Menurut kenyataan Tan Sri Annuar Musa ,Menteri Wilayah Persekutuan ,5,000 hingga 6,000 penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan dikesan mendiami kawasan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dilaksanakan di kawasan berkenaan . Bahkan ,apa yang lebih mengejut ,ada seunit rumah yang didapati didiami oleh 30 orang warga asing pada satu - satu masa . Namun ,pendedahan berkenaan lambakan PATI ini bukanlah berita pertama yang rakyat Malaysia ketahui . Isu Pasar Borong Selayang pada tahun lepas juga masih hangat di ingatan rakyat Malaysia sehingga kini . Jumlah peniaga warga asing di pasar berkenaan jelas melebihi jumlah peniaga tempatan sehingga pasar borong tersebut diistilahkan oleh warga setempat sebagai penempatan baharu warga asing . Isu Bukit Malut di Langkawi pada tahun 2019 juga menjadi penanda aras kepada ketika betapa kritikalnya situasi PATI di Malaysia ketika ini . Berita Harian melaporkan pada 23 Jun 2019 ,hasil tinjauan dengan dron menunjukkan dengan jelas kawasan tanah rizab hutan paya bakau Bukit Malut telah dijadikan penempatan haram oleh kira - kira 8000 warga asing ,rata - ratanya terdiri daripada PATI . Gambar daripada dron telah menunjukkan pembinaan penempatan berkenaan saling tidak ubah seperti penempatan setinggan haram penduduk Brazil di Sao Paulo . Masyarakat setempat juga mendakwa ,kawasan berkenaan dikatakan merupakan titik hitam bagi mereka kerana wujudnya aktiviti jenayah yang kerap di kawasan penempatan haram berkenaan .




Penjelasan yang telah saya beri di atas ,jelas menunjukkan kepada pembaca bahawa isu lambakan PATI di Malaysia ketika ini sudah semakin melarat . Jadi pada penulisan kali ini ,kita akan sama - sama meneliti ,apakah benar Kerajaan Malaysia sekadar acuh tidak acuh dalam menangani isu ini ,ataupun adakah sebenarnya telah wujud banyak polisi - polisi negara yang mungkin ramai antara kita tidak cakna ?






Polisi Malaysia




Sebelum saya mulakan lebih lanjut kepada anda berkenaan polisi Malaysia ,eloklah kiranya kita mengetahui dahulu jumlah PATI yang berjaya dikesan ketika ini di Malaysia . Menurut kenyataan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia ,Datuk Khairul Dzaimee Daud pada 22 Mac 2020 ,sebanyak 13 ,677 PATI telah ditahan daripada 1 Januari 2020 sehingga 21 Mac 2020 . Statistik PATI yang berjaya dikesan di Malaysia pada 2019 juga berada pada kadar yang membimbangkan . Data yang diperolehi oleh Jabatan Imigresen Malaysia menunjukkan , seramai 49,193 pendatang asing tanpa izin (Pati) telah berjaya dikesan daripada 1 Januari 2020 sehingga 5 Disember 2019 . Perlu saya ingatkan kepada para pembaca ,jumlah ini hanyalah merupakan jumlah yang berjaya dikesan oleh Imigresen Malaysia ketika ini . Saya pasti para pembaca juga mampu meneteliti sendiri keadaan sekeliling dan tahu ,jumlah sebenar PATI yang berada di Malaysia jelas melangkaui jumlah ini . Memetik kenyataan Pakar ekonomi, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram pada 10 Mei 2020 ,beliau juga memperakui anggaran kasar PATI di Malaysia pada ketika ini jelas mencapai ratusan ribu .




Polisi Kerajaan Malaysia ketika ini ,mampu saya katakan , 'Berbudi namun berisi' . Walaupun kerajaan memberikan layanan keperluan asas seperti makanan dan tempat berlindung kepada PATI yang dikesan ,namun ianya tidak bermakna undang - undang dan perlembagaan negara wajar dipandang enteng sehingga wujud kenyataan - kenyataan masyarakat bahawa hak - hak pemegang kewarganegaraan Malaysia juga wajar diberikan kepada PATI ini . Memetik kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yakkob pada 25 dan 26 Mei 2020 yang lalu ,kerajaan menyatakan ketegasan untuk tidak akan tunduk terhadap desakan mana-mana kumpulan hak asasi manusia yang mendakwa tindakan penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai diskriminasi . Permintaan sesetengah pihak agar PATI ini diberikan hak - hak istimewa yang diterima warganegara Malaysia seperti mewujudkan penempatan haram ,bergerak sesuka hati dalam kawasan negara dan sebagainya tidak wajar ditunaikan kerana status PATI yang menceroboh negara tanpa sebarang dokumentasi sah tidak wajar . Artikel 8 Akta Imigresen 1959 telah menjelaskan bahawa ,imigran ataupun PATI merupakan individu yang tidak mempunyai sebarang dokumentasi sah yang membenarkan keberadaan mereka di Malaysia . Keberadaan mereka ini di Malaysia adalah dilarang sama sekali dan tindakan undang - undang seperti seperti kompaun dan penghantaran semula mereka ke negara asal akan dilaksanakan .




Daripada sudut penguatkuasaan ,kerajaan sebenarnya bergiat aktif dalam membendung lambakan PATI ini daripada melarat . Jabatan Imigresen Malaysia sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan berterusan di kawasan tumpuan warga asing di seluruh negara . Selain itu ,agensi - agensi kerajaan lain turut membendung kemasukan PATI di Malaysia dengan baik . Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sentiasa melakukan rondaan di perairan negara dan akan memintas dan mengusir semua bot yang dilihat mempunyai aktiviti mencurigakan di perairan negara . Di kawasan Malaysia Barat juga ,penguatkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) banyak melakukan operasi bagi menghalang kedaulatan perairan negara terus dicabar . Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali menjelaskan ,antara operasi yang dijalankan bagi membendung kemasukan PATI antaranya adalah seperti Ops Gasak Laut yang berjaya tahan 41 PATI di Kunak pada 4 Mac 2020 .




Daripada segi perundangan ,pada 6 Januari 2020 yang lalu ,badan perundangan negara telah menubuhkan Mahkamah Khas Kes Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Semenyih, Selangor dan Mahkamah Sesyen Langkawi, Kedah .Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman , penubuhan dua mahkamah tersebut bertujuan mempercepatkan pelupusan kes membabitkan tangkapan warga asing oleh pihak imigresen selaras dengan Akta Imigresen 1959 . Mahkamah khas ini akan turut ditempatkan di depoh tahanan PATI di seluruh negara dengan infrastruktur bagi persidangan mahkamah khas ini disediakan Jabatan Imigresen .Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan juga untuk mengiktiraf bahawa masyarakat luar bandar turut berhak untuk mendapat perkhidmatan keadilan yang cekap dan merangkumi semua golongan masyarakat . Ini jelas memberikan gambaran kepada kita ,walaupun undang - undang tetap didaulat ,namun tidak harus sebarang diskriminasi berlaku kepada individu .




Pada 1 Januari 2019 sehingga 4 Disember 2019 sahaja , Jabatan Imigresen Malaysia merekodkan pengusiran seramai 55,252 warga asing kembali ke negara asal mereka . Kerajaan tidak mengusir tanpa belas kasihan ,namun perlu kita ingat ,PATI - PATI ini mempunyai kerakyatan sah bagi negara asal mereka dan bukannya Malaysia . Jadi adakah wajar mereka ini yang tidak mempunyai dokumentasi sah untuk tinggal di Malaysia masih berada di Malaysia walhal mereka telah mempunyai kerakyatan asal ? Data perolehan Imigresen juga menunjukkan bahawa PATI ini terdiri daripada 22,689 warga Indonesia, Bangladesh (8,805), Myanmar (5,619), India (3,675), Thailand (3,879), Vietnam (3,533), Pakistan (1,700), China (1,479), Nepal (885), Nigeria (696) dan lain-lain (2,292) . Ini membuktikan ,kerakyatan mereka bukan di Malaysia . Jadi adakah wajar ,hak - hak istimewa warganegara juga harus diberikan kepada PATI ? Persoalan ini saya tinggalkan kepada para pembaca untuk renung dan fikirkan .






Hak asasi kepada PATI : Adakah Malaysia mendiskriminasi ?




Pertamanya ,harus kita lihat kembali apakah sebenarnya makna hak asasi . Menurut definisi daripada Gabungan Persatuan - Persatuan Pengguna Malaysia ,FOMCA ,hak asasi ditakrifkan sebagai hak yang tidak boleh dipisahkan dan kebebasan yang layak bagi setiap insan sebagai seorang manusia. Hak-hak tersebut menjamin maruah dan harga diri insan manusia serta menggalakkan kebaikan insani. Hak asasi manusia berbentuk sejagat, tidak boleh dipisahkan dan saling bergantung. Asas bagi setiap hak asasi manusia ialah kefahaman bahawa setiap insan manusia mempunyai maruah dan harga diri. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mendokumenkan hak-hak asasi manusia yang patut dimiliki oleh setiap insan manusia di dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) untuk memastikan maruah dan harga diri manusia adalah dihormati dan dilindungi . Namun ,hak asasi yang dituntut oleh sesetengah individu tidak seharusnya mengancam kedaulatan negara mahupun menimbulkan sentimen kurang senang masyarakat .




Jadi ,apakah sebenarnya hak asasi yang dipinta oleh PATI ? Kita sedia maklum ,makanan ,tempat berlindung sementara dan perlindungan patut diberikan kepada semua individu tanpa mengira sebarang status . Namun ,di media - media sosial pada ketika ini ,kerap kita lihat ,permintaan - permintaan sesetengah pihak agak hak - hak istimewa warganegara Malaysia seperti subsidi kesihatan ,taraf pendudukan kekal ,pembukaan sektor ekonomi yang lebih luas dan banyak lagi menjadi permintaan mereka untuk PATI ini . Sebelum saya sambung ,saya minta anda faham sekali lagi ,yang kita bincangkan ketika ini bukanlah pelarian ,yang boleh diberikan dokumentasi sah iaitu kad pelarian oleh pihak UNHCR untuk mempunyai sebahagian kelonggaran menjalani kehidupan sementara di Malaysia sebagai negara transit sebelum dihantar ke negara ketiga bagi pelarian ini menjadikan negara tersebut sebagai penempatan ,ataupun suaka politik yang masih mempunyai prosiding permohonan untuk menetap secara sah di Malaysia . Kita sedang memfokuskan kepada PATI yang tidak mempunyai sebarang kebenaran dokumentasi yang sah untuk membenarkan mereka berada di Malaysia .




Perlu kita faham ,melalui undang - undang Akta Imigresen 1959 juga telah menyatakan kemasukan dan keberadaan mereka ini adalah haram .Dan ,tindakan menghantar semula mereka ke negara asal akan dilaksanakan . Tindakan ini sahaja sudah membuktikan Malaysia masih tegas namun berbudi . Di depoh tahanan imigresen juga ,PATI - PATI yang ditahan sementara menunggu prosiding mahkamah mereka untuk penghantaran semula ke negara asal diberikan makanan ,khidmat kesihatan ,khidmat nasihat psikologi dan juga sanitasi . Pembersihan depoh juga dilaksanakan secara berkala untuk menjaga kebersihan persekitaran PATI ini . Memetik juga kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 Mei 2020 ,beliau menyatakan ,PATI yang ditahan akan diberi saringan COVID-19 sebanyak dua kali sehingga mereka disahkan negatif. Mereka kemudian dihantar ke depoh tahanan.Sekiranya mereka didapati positif ,rawatan untuk COVID - 19 kepada mereka akan diberikan di hospital tempatan . Jadi ,dimanakah wujud diskriminasi terhadap PATI ? Ada juga yang menyatakan kerajaan bertindak kejam apabila ada PATI yang ditahan ketika PKPD di Malayan Mansion dilaksanakan kerana PATI ini tidak mempunyai dokumentasi sah . Saya ingin tunjukkan kepada anda ,apakah kesan sekiranya PATI - PATI ini dibiarkan sahaja tanpa ada sebarang penguatkuasaan . Walaupun bukan semua PATI yang terlibat ,namun gambaran perkongsian ini mampu memberikan gambaran kepada kita ,tidak mustahil perkara ini akan semakin bercambah dan melarat di masa kelak . Pada 5 Ogos 2017 , seorang pendatang tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini, atas tuduhan membunuh bekas majikannya di sebuah kilang papan di Selayang . Statistik jenayah melibatkan pendatang asing juga berada di kadar yang membimbangkan . Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 16 Ogos 2019 , sejumlah 42,451 kes jenayah melibatkan warga asing direkodkan dari tahun 2016 hingga Ogos 2019 . Walaupun ada PATI yang saya akui tidak terjebak dengan isu ini ,namun potensi bahaya kepada negara itu masih ada . Dan juga wujud isu ada PATI didera majikan mahupun masyarakat dan sebagainya . Kerana inilah lambakan PATI perlu dibendung dengan penghantaran semula mereka ke negara asal . Sentimen masyarakat akan mula menjurus kepada kebimbangan keselamatan ,justeru langkah - langkah bagi menjaga keselamatan negara ini wajar diambil .




Kita juga sedia maklum ,kesempitan hidup menjadi antara punca PATI ini datang ke Malaysia bagi mewujudkan lembaran baharu dalam kehidupan mereka . Namun ,matlamat tidak pernah menghalalkan cara . Banyak inisiatif yang mampu dilakukan untuk mereka datang ke Malaysia dan menetap secara tetap . Melakukan permohonan penduduk tetap (Permanent Resident) ,naturalisasi ,dan memohon visa kemasukan ke Malaysia serta memohon permit bekerja di Malaysia bagi migran merupakan bukti bahawa Malaysia tidak pernah mendiskriminasi niat PATI ini untuk memasuki Malaysia . Namun ,kedaulatan undang - undang wajar diutamakan ,justeru ,prosiding - prosiding permohonan kemasukan mereka ini seharusnya dilakukan selaras dengan ketetapan kerajaan Malaysia . Dengan dokumentasi yang sah juga ,kebajikan mereka mampu dipantau dan diselia sebaik mungkin oleh kerajaan Malaysia dan kedutaan negara asal mereka di Malaysia kerana data mereka yang lengkap sudah ada . Dan perlu kita ingat ,PATI ini ditahan di depoh untuk dihantar balik ke negara asal mereka ,bukannya untuk diseksa tanpa belas ihsan . Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud pada 22 Jun 2019 , sejumlah RM3.5 juta terpaksa dibelanjakan kerajaan hampir setiap bulan bagi menampung kos makanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di 14 depot tahanan imigresen di seluruh negara. Berdasarkan angka itu, kerajaan menanggung purata kos makanan RM12 sehari bagi setiap tahanan . Di samping itu ,kerajaan turut melaksanakan Program Penghantaran Pulang PATI Secara Sukarela (3+1) bagi PATI ini untuk pulang ke negara asal tanpa memerlukan tindakan penguatkuasa ke atas PATI .




Jadi ,adakah Malaysia mendiskriminasi PATI ? Saya tinggalkan persoalan ini untuk anda .






Kesimpulan Ulasan




Sebagai penutup ,saya berpendapat bahawa polisi Malaysia sememangnya berada pada penanda aras yang terbaik bagi membendung isu PATI ini daripada terus melarat . Berbudi namun Berisi . Namun ,peranan - peranan NGO dalam memberikan cadangan kepada kerajaan bagi penambaikan prosedur pengurusan PATI ini di Malaysia juga tidak harus diambil mudah . Mintalah yang diperlu ,jangan tanya yang dihendak . Kita selaku masyarakat seharusnya membaca perundangan negara beserta polisi - polisi semasa kerajaan sebelum sebarang ulasan diberikan . Isu PATI di Malaysia tidak seharusnya dikaburi dengan kata - kata 'hak asasi ' semata - mata ,tanpa kita sendiri faham apakah kandungan perundangan semasa negara dan dan apakah ancaman permintaan - permintaan bagi PATI ini kepada kedaulatan negara ,khususnya rakyat Malaysia ,pemegang dokumentasi sah warganegara .



Sekian ,


Iskandar Zailani




Sumber rujukan :
























































Dipetik daripada laman web asal: (https://lamiaopinone.wixsite.com/lamiaopinione/post/isu-lambakan-pati-di-malaysia-polisi-malaysia)

0 comments

Comments


Home: Subscribe
bottom of page