Isu Perkauman, Jangan Ambil Mudah !
Oleh:Wan Harisun Isu perkauman bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah bagi mana-mana pihak. Satu perbalahan kecil pada hari ini mampu menjadi asbab perpecahan yang tidak kita inginkan. Pada tahun ini iaitu 2020, kita dikejutkan dengan krisis dunia apabila wabak penyakit berjangkit Covid-19 muncul dari Wuhan, Hubei, China dan seterusnya merebak ke hampir seluruh pelusuk dunia. Malaysia tidak terkecuali menjadi salah satu dari negara yang terkesan dengan wabak virus ini. Wabak Corona Virus ini mula dilaporkan di China pada 1 Disember 2019 bermula dengan seorang pesakit yang dikenalpasti menghidapi simptom pneumonia ataupun dalam bahasa Melayu dikenali sebagai jangkitan paru-paru atau radang paru-paru. Jangkitan virus Covid 19 kemudiannya meningkat dengan cepat dalam masa sebulan di China. Hal ini dikaitkan dengan penyebaran virus bermula di Pasar Borong Makanan Laut Huanan yang menjual makanan laut dan juga haiwan hidup di daerah Jianghan, Wuhan, Hubei, China. Aktiviti penjualan di Pasar Borong tersebut juga mendapat perhatian ramai apabila media mula membuat liputan yang meluas kerana pasar tersebut dikatakan tempat asal penularan wabak virus Covid-19. World Health Organization (WHO) atau Pertubuhan Kesihatan Dunia juga telah dimaklumkan tentang penularan tersebut pada 31 Disember 2019. Bukti menunjukkan bahawa pasar tersebut merupakan punca penularan Covid-19 apabila 33 dari 585 sampel yang diambil menunjukkan bukti penyakit Corona Virus. Pasar itu kemudiannya ditutup untuk tujuan sanitasi. Oleh kerana wabak ini berasal dari China, muncul pula masalah baru iaitu xenophobia. Xenophobia ialah perlakuan dimana individu atau kumpulan merasa takut, benci atau tidak suka kepada satu kumpulan lain diluar kumpulan mereka sehingga menyebabkan perkauman, dan perlakuan yang tidak baik kepada kumpulan yang tidak disukai tersebut. Segelintir masyarakat berprasangka kepada kaum Cina tidak kira dari mana dia berasal. Mereka mula menjauhkan diri daripada kaum Cina kerana prejudis kaum Cina tersebut akan menjangkiti mereka. Sentimen anti-Cina semakin teruk apabila diburukkan lagi dengan video seorang wanita China yang memakan semangkuk sup kelawar. Video itu disebarkan oleh segelintir media tidak bertanggungjawab dan menjadi topik perbualan hangat di pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan juga laman sosial Twitter. Pelbagai tomahan dibuat terhadap masyarakat Cina menyalahkan tabiat makan mereka yang menyebabkan berlakunya wabak Covid-19. Pelbagai ciapan dibuat di laman Twitter menimbulkan sentimen anti-Cina. Namun sebenarnya, video itu bukan berasal dari China. Video itu cumalah rakaman lama seorang wanita Cina, Wang Mengyun yang membuat penggambaran video “Online Travel Show” dan ia menunjukkan wanita tersebut memakan hidangan di Palau, sebuah negara kepulauan Pasifik. Sup kelawar merupakan makanan istimewa bagi masyarakat tempatan Palau. Video itu dikemukakan sebagai bukti menunjukkan ‘kejijikan’ tabiat makan masyarakat Cina. Padahal, video itu bukan berasal dari China. Malah, video itu dirakam hampir 3 tahun yang lalu sebelum wabak Covid-19 tercetus dan melanda dunia. “Buang telefon bimbit Xiaomi anda kalau sayangkan nyawa, ada virus Corona padanya.” “ Jangan beli barang dari peniaga dari China” Di Indonesia menurut ‘Foreign Policy’, posting di media sosial meggalakkan orang ramai menjauhkan diri daripada tempat-tempat yang mempunyai warganegara China atau warganegara Indonesia yang berbangsa Tiongkok bekerja atau hidup. Diskriminasi juga semakin ditonjolkan apabila mereka juga turut mendiskriminasikan warga Jepun. Kedutaan Jepun di Indonesia menyatakan banyak laporan diterima mengenai diskriminasi terhadap warga Jepun ditengah-tengah pandemik ini. Di Malaysia juga, segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa kaum Cina merupakan pembawa virus covid-19 ini ke Malaysia. Tidak kurang juga segelintir ahli politik yang membuat kenyataan bahawa wabak Covid-19 yang melanda Wuhan, China merupakan balasan Tuhan kepada China disebabkan oleh penindasan kerajaan terhadap masyarakat Uyghur yang berada di wilayah Xinjiang, China. Hal ini, menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat kerana ia mampu menimbulkan isu perkauman. Tidak dinafikan wabak Corona virus ini berasal dari China, namun virus ini tidak mengenal kaum, bangsa, agama dan negara. Pada hari ini, bukan China sahaja yang mengalami jangkitan wabak tersebut. Malah, negara-negara kuasa dunia seperti Amerika Syarikat kian mendahului sebagai negara pemegang jangkitan tertinggi ketika ini. Itali, India, dan hampir seluruh pelusuk dunia mengalami perkara yang sama. Rakyat Malaysia juga mudah menuding jari kepada mana-mana kluster. Contohnya, kluster yang paling popular iaitu kluster Jemaah Tabligh di Seri Petaling. Ada yang memaki dan menghina Jemaah Tabligh kerana menyebabkan jangkitan di Malaysia. Padahal, semasa perhimpunan Jemaah Tabligh dibuat di Seri Petaling, Malaysia masih tidak mempunyai kesedaran tentang jangkitan Covid-19. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga belum dibuat. Mereka cumalah mangsa yang tidak sedar tentang perkara tersebut. Mujurnya, kebanyakan dari mereka sudahpun membuat saringan ujian Covid-19 dan memberi kerjasama yang baik kepada kerajaan. Mula-mula, salahkan Cina. Selepas itu, Jemaah Tabligh pula. Betapa senangnya masyarakat Malaysia menghukum dengan menjadi ‘keyboard warrior’, mencaci dan menghina di media sosial. Meskipun, masyarakat Malaysia banyak waktu terluang semasa PKP, namun waktu itu tidak sepatutnya digunakan untuk saling salah-menyalahkan. Lebih teruk lagi, muncul juga pertelingkahan antara golongan B40 dan golongan T20 yang tidak puas hati dengan apa yang dilakukan kerajaan. Pada waktu yang sukar ini, dalam menangani krisis, rakyat Malaysia patut bekerjasama mematuhi perintah kerajaan dan membantu kerajaan dengan cara tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan sentimen perkauman. Kesimpulannya, salah satu akibat wabak Covid-19 ialah menimbulkan xenophopobia dan sikap perkauman samada di Malaysia ataupun diluar negara. Masyarakat Malaysia khususnya, seharusnya lebih berhati-hati dalam menyebarkan maklumat dan menerima maklumat yang disampaikan oleh media. Ahli politik juga patut mengenepikan isu politik dan berhenti mempolitikkan isu yang tidak sepatutnya. Perkara yang boleh menyebabkan perpaduan kaum terancam patut dielakkan demi kesejahteraan negara. Marilah bekerjasama menjaga perpaduan kaum dan kesejahteraan negara. Akhir kata, demi memastikan keadaan boleh pulih seperti sediakala, patuhilah perintah kerajaan kita. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. “Duduk dirumah diam diam”. “Kita jaga kita.” Ditulis oleh Wan Harisun Binti Wan Hamid Pelajar Tahun Dua Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin.
Σχόλια