top of page
Home: Blog2
Search
  • Writer's pictureIRed Project

DIPLOMASI PISANG: BAGAIMANA CHINA MENUNDUKKAN "TRUMP OF THE EAST"

Updated: Mar 31, 2020


Oleh: Imran Azmi

Dinihari Revolusi Filipina 1986, muncul seorang pemimpin yang di dalam darahnya mengalir ciri seorang pemimpin nasionalis dan membawa hasrat nurani rakyat rantau Davao yang dipimpinnya untuk 7 penggal berturut-turut sebagai datuk bandar.Tindakan lampaunya yang ‘merciless’(tiada belas kasihan) dalam membasmi penggunaan dadah selama 22 tahun memerintah tidak menggugat pengundi dalam melantik dirinya sebagai Presiden negara ‘Pearl Of The Orient’ itu. Presiden bermulut lantang,tegas dan berpengalaman dalam selok belok urusan kerajaan, secara sendirinya mengubah haluan lintasan dasar domestik dan dasar luar Filipina tidak seperti pemimpin-pemimpin yang terdahulu.

Untuk mengenali Duterte,adalah lebih baik untuk kita lihat dan analisa dahulu rantau yang dipimpinnya. Davao memperoleh statusnya sebagai pusat pertanian dan ekonomi Mindanao. Pisang adalah antara komoditi terpenting di rantau Mindanao.Filipina adalah pengeksport kedua terbesar pisang di dunia,pada 2018 sahaja,negara tersebut mengeksport komoditi itu yang bernilai $ 1.5 billion,dan fakta menarik disini adalah 90% pengimport pisang dari Filipina adalah tidak lain tidak bukan China. Perlu saya jelaskan disini yang sektor pertanian menyokong 30 peratus penduduk Filipina.Jumlah populasi penduduk Filipina setakat 2019 adalah 104.9 Juta,maka sektor pertanian sahaja menyara hampir 31.47 juta penduduk negara tersebut!.Itulah sebabnya penting sektor ini terhadap ‘survival’ negara itu.

Semasa tempoh pemerintahan sebelumnya, Benigno Aquino III (Presiden Filipina sebelum Duterte) secara umumnya menyatakan pendiriannya yang ‘anti-China’. Ini semua gara-gara pencerobohan kapal perang China di beberapa pulau yang di‘klaim’ oleh China di perairan Laut China Selatan. Hubungan yang dingin antara dua negara tersebut memuncak pada tahun 2012 dan berterusan sehingga 2016 adalah salah satu sebab kelembapan ekonomi yang dirasai rakyat Filipina akibat tindakan China memboikot dan ‘mengurangkan’ transaksi dagangan bersama mereka.Mengapakah larangan ini dikenakan pada mulanya?

Antara faktor ‘klimaks’ ketegangannya adalah semasa pemerintahan Presiden Aquino, Manila telah mengheret China ke mahkamah antarabangsa atas aktiviti ketenteraan negara tersebut yang dilihat sebagai pencerobohan atas perairan Filipina yang berdaulat. Undang-undang antarabangsa memihak kepada Manila dan mereka memenangi kes itu. Ianya dilihat sebagai satu langkah kehadapan bagi sebuah negara kerdil yang mewakili ASEAN dalam menyekat kemaraan Beijing dalam isu tuntutan Laut Cina Selatan.

Namun, oleh kerana kepentingan geopolitik di laut Cina Selatan, ianya adalah suatu yang tidak mengejutkan apabila keputusan timbang tara itu diabaikan kepimpinan negara tembok besar tersebut. Ianya menerima kecaman hebat dari negara-negara dari blok barat. Perlu saya jelaskan yang penduduk rantau Davao-lah yang banyak menderita akibat sekatan ini dan sebagai pemimpin tertinggi daerah Davao sewaktu sengketa China-Filipina 2012-2016, Duterte-lah yang paling tidak berpuas-hati.China tahu akan kepentingan ekonomi Filipina dalam mengeksport pisang. Disinilah dimana China menggunakan ‘economic diplomacy’ yang secara tidak langsung menundukkan Duterte. Beliau sedar kepentingan ekonomi Filipina adalah dalam tangan China dan beliau sedar bahawa beliau menggalas tugas yang penting untuk ‘defuse’ ketegangan antara negaranya dan gergasi ekonomi dunia tersebut.

Duterte tidak mahu meneruskan ‘aksi kosong’ Aquino yang digambarkan seperti merak mengigal di tengah hutan.Maka disini jelaslah tujah utama kepimpinan Duterte dalam membentuk dasar luar baru negara tersebut. Sewaktu diawal pemerintahan beliau beberapa tahun lalu,dia berulang kali menyebut yang negara itu akan ‘menyusun semula’ dasar luarnya, dan ‘melepaskan diri daripada kebergantungan Filipina’ terhadap Amerika Syarikat. Filipina lari dari kebergantungannya bersama AS dan ‘memalingkan’ kiblatnya kearah Beijing. Seperti biasa,Beijing menerima mana-mana negara yang mahu bekerja sama dengannya dengan tangan yang terbuka.Godaan ekonomi yang ditawarkan oleh China terlalu besar untuk ditutup sebelah mata.Malah, atas usaha Duterte yang progresif, hubungan dua hala antara Filipina dan China bertambah baik di bawah pentadbirannya.Pada tahun 2017 sahaja, China menduduki tempat sebagai rakan dagang nombor satu negara tersebut, pasaran eksport keempat terbesar, dan pembekal import utama. Eksport Filipina ke China meningkat sebanyak 25.81 peratus daripada $ 6.37 bilion pada 2016 kepada $ 8.02 bilion pada 2017. Penjajaran baru pemimpin negara ribuan gugusan pulau itu akan turut memberi penekanan hubungan rapat dengan negara yang berkiblat sama dengan China yakni Rusia,Duterte juga ada menyatakan dalam satu ucapan sewaktu lawatan rasminya di China ,yang ‘membina hubungan yang akrab’ dengan dua kuasa besar tersebut adalah ‘kepentingan utama negara saya sekarang’. Dalam jangka masa 2016-2020 sahaja,beliau telah melakukan lawatan rasmi China sebanyak lima kali atas kapasiti Presiden diiringi beratus-ratus delegasi dari pelbagai industri Filipina untuk mengukuhkan hubungan dua hala negara tersebut.Hasil daripada ini,13 perjanjian kerjasama dua hala telah ditandatangani dan pembiayaan dan pelaburan China bernilai USD 24 bilion dicagarkan untuk Filipina antaranya projek Subic-Clark Railway System .Untuk perbandingan beliau hanya melakukan lawatan rasmi sebanyak 2-kali di Malaysia dan 3 kali ke Singapura.

Tidak dinafikan bahawa Dutertelah yang pernah berjanji kepada rakyatnya yang beliau tidak gentar untuk melawan pengaruh China dalam politik antarabangsa, dialah jaguh kampung yang pernah berjanji akan ‘mendirikan’ bendera Pambansang Watawat ng Pilipinas (bendera negara Filipina) di pasir pantai Kepulauan Spratly yang didambakan Beijing. Namun apabila minta dijelaskan ucapkata beliau sewaktu lawatan rasminya di Riyadh beliau bagaikan kucing dibawakan lidi, takut dan sembunyi di sebalik konotasi mahu membina ‘persahabatan’ yang utuh bersama jirannya itu.

Maka soalan cepumas timbul. Adakah cara Duterte berlembut dengan China ini menguntungkan Filipina?Dari segi ekonomi ya. Cukup sehingga aspek itu. Perlu saya ulang yang Duterte amat terkenal dengan sikapnya yang populis dan mementingkan kesejahteraan rakyatnya. Aspek lain jika dibincangkan ianya bagai getah dibawa ke semak.Tak habis nak dikupas.

*penulis merupakan Mahasiswa tahun 2 Hubungan Antarabangsa, UniSZA

*penulisan ini tidak mengambarkan pandangan rasmi IRiSS, UniSZA



0 comments

Comentarios


Home: Subscribe
bottom of page