top of page
Home: Blog2
Search
  • Writer's pictureIRed Project

BOOK REVIEW (ON PALESTINE - NOAM CHOMSKY DAN ILAN PAPPE. © 2015 Haymarket Books)

Diulas oleh: Muhammad Iskandar Zailani.



Buku ini banyak mengupas tentang pandangan kedua2 pengulas terkenal isu Israel dan Palestine, iaitu Noam Chomsky dan Ilan Pappe. Perbincangan dimulakan dengan Analisa paradox yang dihadapi oleh aktivis Palestin dalam berhadapan dengan ketegangan ini sehingga situasi kini dilihat sukar untuk dipulihkan oleh Israel dan Palestin.

Paradoks yang pertama, memfokuskan kepada jurang di antara sokongan komuniti global terhadap Palestin, yang dilihat bertentangan dengan inisiatif dokongan yang diperuntukkan oleh Pihak Barat kepada Israel khususnya daripada sudut politik dan ekonomi. Pertentangan ini telah menimbulkan satu perspektif kegagalan di dalam pemikiran para aktivis, kerana mereka melihat, masih banyak pihak yang tidak mengangkat sepenuhnya isu ini daripada sudut politik antarabangsa walhal sokongan komuniti global jelas kelihatan. Disebabkan wujudnya paradoks seperti ini, maka penulis melihat, bahawa usaha aktivis tidak lagi memfokuskan sepenuhnya kepada mendatangkan keberhasilan kedamaian kepada kedua pihak, namun lebih bersasar kepada serangan agresif berbentuk kecaman yang hanya mendatangkan ketegangan sehingga matlamat asal untuk rundingan kedamaian menjadi semakin sukar untuk dicapai.

Paradoks kedua adalah berkenaan imej dua muka yang ditonjolkan oleh pihak Israel di mata dunia. Tidak kita nafikan, di sebalik imej negatif tindakan mereka, masih ada imej positif yang kita lihat hadir daripada masyarakat mereka sendiri yang menginginkan keamanan dicapai, bukan sekadar dengan perang mahupun senjata. Pada pandangan sebelah pihak, Israel dilihat mendiskrimasi Palestin. Namun, kita tak boleh menafikan ideologi setiap pihak. Di sudut yang lain, Israel dilihat lebih mengutamakan perang menentang keganasan dek kerana profil perang dan ketegangan yang mereka bentangkan dunia melalui kecaman terhadap Hamas dan Hezbollah misalnya. Kerana inilah, kita melihat ideologi Israel dalam menentang Palestin secara perang, masih dipertahankan oleh sesetengah pihak.

Paradoks ketiga adalah daripada sudut permainan emosi dan empati. Apabila kecaman diberikan secara luas dan dilontarkan kepada Israel secara terbuka, kesempatan ini digunakan mereka bagi memperlihatkan satu imej global yang dilihat tersepit, dan teraniaya dengan kecaman global. Ditambah pula dengan serangan dan kritikan secara kasar dilakukan dengan melulu tanpa fakta oleh sesetengah penyokong ideologi Palestin, ini membantu Israel bagi membentuk satu stigma bahawa mereka hanya dituduh dan dikecam atas dasar kebencian, dan bukan berlandaskan kepada fakta. Satu contoh menarik yang dikongsi oleh penulis adalah berkenaan dengan demonstrasi yang dilakukan di Eropah kerana serangan yang dilakukan oleh Israel pada tahun 2009 di Gaza. Israel membentuk empati dengan mengatakan bahawa serangan-serangan ini bersifat menjatuhkan nilai bangsa mereka dan sengaja menganiaya kepentingan mereka sebagai sebuah negara. Ironinya, Parlimen Eropah sendiri telah melarang sebarang demonstrasi berunsurkan anti-Semitic dan sama sekali menyangkal empati yang diwarkan mereka. Namun, inilah hakikat paradoks yang cuba dibentuk oleh pihak Israel terhadap isu Israel-Palestine ini.

Paradoks terakhir adalah berkenaan kisah asal pemilikan Palestine dan pembentukan negara Israel. Kisah asalnya mudah, pendatang Yahudi daripada Eropah hadir ke wilayah Palestin dan diberikan ruang untuk penempatan. Namun apabila dimulakan bicara seperti kepada mereka, maka, unsur yang sama diketengahkan. Dibangkitkan kepada masyarakat global, bahawa penyokong Palestin ini adalah penyokong yang rasis dan tidak berhati perut. Penyokong Palestin dilabel sebagai anti-Semitik dan tidak menghormati bangsa Yahudi itu sendiri dan adatnya. Unsur-unsur inilah yang dipermainkan oleh Israel untuk mewujudkan satu paradoks bagi menyukarkan dan menyesatkan aktivis Palestin daripada matlamat yang sebenar, iaitu mengejar kedamaian. Kini, aktivis lebih cenderung kearah bidasan, kritikan dan serangan agresif bersifat peribadi berbanding dengan matlamat asal iaitu rundingan kedamaian. Inilah matlamat paradoks ini, mencetuskan ketegangan yang tiada pengakhiran dan hanya lebih memburukkan imej aktivis sendiri.

Perbincangan seterusnya dibawa kepada diskusi berkenaan cabaran terhadap solusi damai di antara Israel dan Palestin kini. Penulis membincarakan tentang Kamus Ortodoksi Keamanan, yang amat menyokong solusi dua negara di wilayah Palestin dan Israel. Solusi ini dianalisa penulis akan mendatangkan kegusaran kepada ideologi pihak-pihak yang bersama Israel, khususnya America dek kerana potensi untuk aturan politik global mungkin berubah dengan pengiktirafan Palestin selaku negara melalui solusi ini. Kebanyakan aktivis dan penganalisa politik antarabangsa menyatakan hasrat bahawa inisiatif pengiktirafan ini adalah Langkah terbaik bagi kedua-dua negara, dan pendapat Barat dilihat semakin kurang efektif dalam melunturkan inisiatif ini. Namun penulis melontarkan pandangan, bahawa ortodoks solusi ini dilihat semakin kabur di dalam perjuangan para aktivis masa kini. Aktivis kini lebih dilihat cenderung menyokong solusi satu negara atas dasar anti apartheid. Pada pandangan mereka, solusi satu negara adalah satu inisiatif sebenar atas dasar Yahudi adalah pendatang, sekaligus kembali mencetuskan ketegangan semula. Aktivis era baharu kini lebih melihat wilayah Israel-Palestin itu hanyalah sekadar satu penjajahan dan puncanya adalah daripada keganasan Zionism semata-mata. Pada aktivis ini, hanya satu solusi yang perlu, Israel seharusnya berundur daripada Palestin. Ini sekaligus membenarkan Israel kembali mempertahankan diri mereka atas dasar empati dan demokrasi, lantas mengaburi dunia kembali daripada keganasan yang berlaku dan niat asal aktivis, iaitu melindungi rakyat yang terjebak dalam ketegangan ini.

Di solusi perbincangan, penulis menyatakan hasrat agar Kamus Ortodoksi Keamanan kembali diamati semula. Solusi keamanan seharusnya ditegakkan kembali oleh aktivis kerana hanya dengan cara ini, sebarang bentuk imuniti terhadap pembesaran kawasan mereka mampu dibendung dengan memanfaatkan sentimen ideologi dan tekanan komuniti global terhadap perbuatan mereka. Solusi yang bersifat menghalau ataupun menyahiktiraf sesebuah harus dihentikan bagi memperoleh diplomasi solusi yang lestari dan berimpak. Penulis bersetuju dengan perspektif bahawa, cara yang paling relevan bagi isu Israel-Palestin kini adalah diplomasi, dan bukannya serangan-serangan agresif berbentuk emosi mahupun fizikal semata. Imuniti yang diperoleh Israel hasil daripada empati global terhadap fahaman bahawa mereka dikeji dan dibenci kerana unsur bangsa, haruslah dihentikan supaya imuniti ini tidak lagi disalah guna untuk melindungi kepentingan mereka.

Penulis juga meluahkan hasrat bahawa sekiranya gabungan Israel-Palestin sebagai satu negara dibentuk, kemungkinan untuk pembersihan etnik, mahupun penindasan masih akan berlaku kerana autonomi yang kurang kepada pihak Palestin berbanding dengan diiktiraf selaku sebuah negara melalui dasar solusi dua negara.Untuk mencapai solusi dua negara ini, penulis meminta kesemua pihak untuk menganalisa setiap sudut daripada kedua-dua pihak, dan tidak lagi mencetuskan ketegangan dengan hanya berpihak kepada satu entiti sahaja. Penulis juga berbicara tentang sekiranya Israel sendiri menolak usul solusi dua negara ini, maka kerugian daripada sudut diplomatik akan berlaku kepada mereka dek kerana komuniti Yahudi di Israel sendiri ingin untuk menamatkan perang tanpa kesudahan ini dan memperoleh negara yang tiada lagi perang, berbanding dengan hanya berperang tanpa henti hanya demi satu matlamat yang seharusnya boleh diselesaikan dengan diplomasi. Penulis juga menjangkakan bahawa isu Palestin-Israel ini akan sentiasa bermain dengan sentimen bagi membentuk ketegangan dan menguntungkan pihak-pihak kapitalis dan pihak-pihak yang berkepentingan, namun penulis menyeru kepada pembaca agar kembali melihat struktur solusi yang efektif selaras dengan situasi perjuangan Palestin dan Israel dan tidak lagi hanya berhujah berdasarkan serangan peribadi dan negatif sahaja tanpa pembuktian.


Sumber: https://www.facebook.com/photo?fbid=10159350599918149&set=a.80777093148



0 comments

Comments


Home: Subscribe
bottom of page