top of page
Home: Blog2
Search
  • Writer's pictureIRed Project

Perkembangan Ilmu Hubungan Antarabangsa Islam

Updated: Mar 31, 2020


1.Hubungan Antarabangsa merupakan sebuah cabang ilmu yang sangat kompleks, ianya menyediakan jalan dan kerangka fikir dalam memahami interaksi antara aktor(negara dan bukan negara). Perang atau berdamai boleh dicerap sebab dan faktornya melalui kaedah yang disusun ilmu ini, sang aktor tidak akan berperang atau berdagang tanpa sebab. 2.Ilmu Hubungan Antarabangsa ini mempunyai sejarah perkembangan yang cukup panjang, keilmuan barat menjadi rujukan utama buat pelajar dan ilmuan Hubungan Antarabangsa, ini kerana mereka telah mencapai perkembangan yang sangat hebat didalam bidang ini, mereka berjaya menghasilkan “grand theory” ataupun “partial theory” yang cukup terkenal seperti realisme, liberalisme, marxisme dll. Namun, apa yang mahu diketengahkan oleh penulis ialah sumbangan dan keadaan semasa Islam dalam bidang Hubungan Antarabangsa. Adakah Islam tidak menyediakan apa-apa jalan atau kerangka dalam mencerap hubungan antarabangsa? APA ITU TEORI 3.Setiap disiplin ilmu memerlukan teori untuk menuntun penelitian, menyediakan asas bagi setiap penjelasan dan lebih baik lagi jika mampu membentuk kapasiti untuk menjangka keputusan. Ilmu Hubungan Antarabangsa adalah ilmu yang melibatkan fakta yang banyak tentang dunia dan aktor. Fakta-fakta ini tentu akan menjadi lebih bermakna dan relevan ketika tersedia suatu kerangka berpikir(teori) sebagai tempat fakta-fakta tersebut dapat dideskrisikan dan dianalisis(Vinsensio Dugis, 2018). 4. Teori itu dirumuskan sebagai satu set metod untuk membuat spekulasi supaya dapat memahami dan mampu menawarkan kerangka untuk menjelaskan sesuatu fenomena. Lazimnya, teori itu boleh diuji kebenarannya dengan permerhatian berulang kali, boleh jadi benar atau tidak. Pokoknya, teori digunakan untuk spekulasi, jika salah, pakai teori yang lain atau perbaiki teori sedia ada. 5. Kerangka ilmu islam itu sedikit berbeza dengan barat dalam memahami teori, keilmuan Islam tidak hanya bersumberkan akal fikiran atau rasionaliti dalam membina teori, islam mempunyai sumber yang tidak mungkin salah mahupun diuji beribu kali iaitu Al Quran dan Hadis. Namun, usaha mengekstrak makna dari tekstual itu sehingga boleh dibina satu panduan yang praktikal bukanlah satu tugas yang mudah. Hubungan Antarabangsa Islam 6.Selepas model ideal zaman Nabi Muhammad saw dan Khalifah Ar Rasyidun, ilmu Hubungan Antarabangsa Islam mula berkembang kira-kira sekitar 700 masihi melalui Imam Malik didalam kitab Al Muwata’. Imam Malik mengumpulkan dalil-dalil seperti Hadis yang berkaitan dengan ilmu feqh termasuk juga feqh siyar(undang-undang hubungan antarabangsa). Seterusnya, kita dapat mengikuti perkembangan siyar menerusi Imam Syaibani pada 750 masihi pula melalui Kitab Siyar Kubra(besar) dan Kitab Siyar Sugra(kecil). Fasa perkembangan ini boleh dikategorikan sebagai fasa pertama dalam perkembangan bidang ilmu ini, pada fasa ini ulama’ dan ilmuan islam banyak mengfokuskan penyusunan dalil naqli(wahyu) yang berkaitan sahaja. Ini membuktikan bahawa, sumber rujukan Islam mempunyai cakupan yang holistik dalam membicarakan soal kemasyarakatan(sosial). 7.Untuk fasa seterusnya, kita dapat melihat perubahan dari segi pendekatan dan fokus ilmuan islam pada abad ke-9 dan ke-10 masihi dalam mengembangkan ilmu sosial, ini kerana interaksi bersama tamadun lain telah sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran ilmuan islam seperti tamadun greek. “Falsafah atau pemikiran orang greek,baik dari segi ketuhanan mahupun politik telah mempengaruhi segelintir pemikir muslim, khususnya mulai awal abad ke-9”(Makmor Tumin, 2019). 8. Antara pemikir yang cuba mengintegrasi falsafah greek dengan Islam pada waktu ketika itu ialah Al Farabi. Jika idea Plato adalah berteraskan konsep logik atau rasionaliti sebagaiasas menentukan pemimpin yang unggul, idea Al Farabi pula adalah berteraskan aspek rohani(Makmor Tumin, 2019). Bagi Plato dan Al Farabi, penyelesaian kepada masalah politik dalaman atau antarabangsa ialah dengan mempunyai pemimpin yang unggul. Menurut Plato, pemimpin yang unggul adalah pemimpin yang paling kuat daya logik dan rasionalnya atau dikenali sebagai “Philosopher King”. Manakala, Al Farabi menekankan aspek kerohanian, disamping daya logik dan rasional, pemimpin mestilah mempunyai tahap kerohanian yang tinggi, inilah syarat individu itu layak diangkat menjadi pemimpin(imam) bagi suatu pemerintahan. 9.Usaha keilmuan sosial islam dilihat tergendala pasca-zaman pencerahan eropah. Negara umat islam kebanyakkanya terkesan dengan kolonialisme eropah. Adapun begitu usaha pasca-zaman pencerahan ilmuan islam dalam ilmu hubungan antarabangsa dapat dilihat melalui penulisan seperti drpd Abdul Hamid Abusulayman dalam bukunya Perhubungan Antarabangsa menurut teori islam pada tahun 1980. 10. Abdul Hamid berjaya menuntun definisi negara dan metod interaksi di antara negara menurut islam. Karya-karya ilmuan selepas pasca-zaman pencerahan bagi pendapat penulis tidak lebih daripada mengariskan semula usaha-usaha ilmuan yang lepas dalam bentuk yang lebih ringkas dan sistematik. Tidak dinafikan karya sosial islam pasca zaman pencerahan sangat penting tetapi masih banyak kelemahan dan kajian mesti diteruskan. Membumikan Al Quran dan Hadis 11. Masih banyak kerja yang perlu dilakukkan khusus dlm ilmu sains sosial islam. Pentafsiran melalui rujukan wahyu tidak lagi mampu digarap oleh umat secara literal kerana kekurangan ilmu. Jesteru, usaha meluaskan cakupan sains sosial islam supaya menembusi ruang ilmu “individual worship” dan menuju fasa perkembangan yang baru, iaitu yang menfokuskan soal praktikal sains sosial islam yang lebih global. 12. Keilmuan yang “stagnant” perlu dipecahkan segera demi manfaat sejagat. Benar islam merupakan solusi kepada semua permasalahan, namun ia perlu dizahirkan. Ilmuan dan mahasiswa islam perlu membuktikan bahawa ilmu sosial islam bukan sekadar bercakap soal bagaimana zakat membantu orang susah ataupun bagaimana solat berjemaah dapat meneguhkan ukhwah sesama muslim. Ilmu sosial islam juga perlu dikomersial dan dipersembahkan sebagai penyelesaian yang global, islam merupakan kegunaan seluruh makhluk bukan hanya kepunyaan “orang islam”. Dengan itu saja nanti, ilmu hubungan antarabangsa atau sains sosial islam dapat mengantikan ilmu barat sebagai rujukan dunia. 13. Usaha seperti ini dapat dilihat menerusi integrasi ilmu oleh dua pakar yang berlainan bidang iaitu Prof Zaini Ujang(UTM) dan Prof. Dr Zulkifli(UM). Prof Zaini dikenali sebagai pakar alam sekitar, hatta beliau sering dirujuk organisasi antarabangsa. Manakala Prof. Zul merupakan pakar rujuk Al Quran dan Hadis, tidak hanya di Malaysia, tapi juga di negara lain seperti Arab Saudi, Mesir, Maghribi, Qatar, Turki dan China. Menerusi kerjasama kedua tokoh ini, mereka berjaya menerbitkan sebuah buku yang bertajuk “Hadis 40: Pelestarian Alam Sekitar”. 14.Kajian mereka bukan sahaja mengariskan hadis-hadis rasulullah berkaitan alam sekitar(yang jarang dibicarakan) tetapi pentafsiran yang praktikal dan membumi memudahkan “layman” seperti kita untuk mengambil manfaat. Seperti satu hadis rasulullah saw: Daripada Abu Hurairah ra, sesungguhnya Rasulullah bersabda: “berhati-hati dengan al-la’anayn(dua golongnan yang dilaknat manusia). Para Sahabt bertanya, siapakah Al-la’anayn wahai rasulullah? Baginda bersabda: Mereka ialah orang yang membuang hajat di laluan perjalanan atau tempat manusia berteduh”(Riwayat Muslim) 15. “Dalam konteks masa kini, laluan perjalanan dan tempat manusia berteduh adalah kemudahan awam yang turut menyediakan tandas, bilik air, tempat berehat dan sebagainya. Berdasarkan hadis ini, larangan membuang hajat di laluan perjalanan boleh ditafsirkan sebagai keperluan memastikan tandas awam dibersihkan sebaiknya selepas ia selesai digunakan”(Hadis 40: Perlestarian Alam Sekitar). 16. Inilah contoh dan manifestasi “membumikan Al Quran dan Hadis” yang dimaksudkan penulis. Walaupun kedua mereka pakar didalam bidang yg berbeza Dr Zaini(Sains Sosial) & Dr Zul(Ulum Al Quran), kedua tokoh ini dpat menjalankan usaha(membumikan) Al Quran dan Hadis dgan menghubungkan sosial dan Al Quran. Tafsiran yg praktikal dan kontemporori inilah yang diperlukan untuk membangun ilmu sains sosial islam khusus bidang sekompleks "IR". 17. Ilmu Hubungan Antarabangsa Islam masih memerlukan usaha yang progresif dari mahasiswa dan ilmuannya untuk dikembangkan, integrasi antara kepakaran mesti diwujudkan seperti jaringan kerjasama diantara fakulti Hubungan Antarabangsa bersama fakulti Islam Kontemporori. Dengan itu nanti, Hubungan Antarabangsa Islam akan berkembang daripada sekadar fokus soal siyar atau peperangan dlm Islam. Muhammad Aiman Bin Roszaimi Mahasiswa Hubungan Antarabangsa, UniSZA *penulis merupakan mahasiswa tahun 2 Hubungan Antarabangsa, UniSZA *penulisan ini tidak membawa pandangan rasmi IRiSS UniSZA



0 comments

Comments


Home: Subscribe
bottom of page